Tuesday, April 27, 2010

BilA DuNIa KiAn PaRaH MeNdErITA

Oleh : Nor Khairiah Binti Hamzah

Isu pemanasan global bukanlah satu isu baru untuk diperkatakan. Malahan, ia merupakan isu yang telahpun wujud berabad lamanya. Kajian terawal berkenaan dengan peningkatan suhu bumi ini telahpun dilakukan oleh Joseph Fourier dari Perancis pada tahun 1768-1830 yang mendapati bahawa, pembebasan gas-gas ke atmosfera boleh menyebabkan peningkatan suhu bumi (Brenda & K.Lee. 2008). Setelah berkurun fakta ini ditemui, bayangkan situasi pada hari ini dan akan datang. Tatkala semua negara berlumba-lumba untuk mencapai status negara maju, banyak pusat perindustrian ditubuhkan. Situasi ini secara tidak langsung menjadi penyumbang terbesar terhadap pembebasan gas-gas rumah hijau ke atmosfera yang seterusnya menyebabkan peningkatan suhu bumi.

Oleh yang demikian, tidak mustahil sekiranya isu ini semakin hangat dibincangkan. Resolusi untuk mencapai kata sepakat dunia dalam mengurangkan fenomena ini kerap kali dilaksanakan tetapi akhirnya hanya menemui jalan buntu. Setelah empat dekat Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS) diperkenalkan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelestarian alam sekitar, isu pemanasan global pasti dipilih menjadi topik utama. Bermula tahun 1989, isu ini telahpun menjadi tema kepada Hari Alam Sekitar Sedunia. Tema yang sama dipilih pada tahun 1991, dan telah diangkat sebanyak tiga kali secara berturut-turut sejak 2007.Perkara ini membuktikan kepada kita betapa dunia pada hari ini sedang menderita menanggung keperitannya. Semakin hari, peningkatan suhu bumi semakin meningkat yang menyebabkan bahangnya semakin dirasai. Atas kesedaran yang wujud, United Nation Environment Programme (UNEP), sekali lagi menjadikan isu perubahan iklim global sebagai fokus utama pada tahun 2009. Rentetan daripada kesungguhan tersebut, satu persidangan dunia berkenaan Perubahan Iklim Global(Global Climate Change Conference) telahpun diadakan di Conpenhagen, Denmark pada 7 hingga 18 Disember 2009. Persidangan yang menemukan wakil daripada seluruh dunia ini diharap dapat mencapai kata sepakat dalam mengurangkan masalah ini.

Jika kita imbau kembali sejarah, pencemaran alam yang agak kritikal telahpun berlaku lebih dua ratus tahun yang lalu iaitu ketika revolusi perindustrian. Pada waktu itu, aktiviti manusia telah menyumbang kepada peningkatan suhu bumi yang merangkumi darat dan laut. Dianggarkan, peningkatan suhu bumi berlaku antara 0.4 hingga 0.8 darjah Celsius dalam tempoh seratus tahun.

Peningkatan ini disebabkan oleh pelepasan gas-gas yang dikenali sebagai "gas rumah hijau", terutamanya karbon dioksida di ruang atmosfera. Isipadu karbon dioksida meningkat dari 280 ppm pada 1800 kepada 315 ppm (1958) dan 367 ppm (2000), peningkatan 31 peratus dalam tempoh 200 tahun (Utusan. Desember 2009).Keadaan menjadi lebih teruk apabila bahan api fosil digunakan sebagai sumber tenaga, serta penggondolan hutan dilakukan untuk projek pembangunan. Natijahnya, isi padu karbon dioksida dijangka terus meningkat di antara 540-970 ppm menjelang tahun 2100. Bencana alam yang sering berlaku sejak kebelakangan ini telah membuka mata banyak pihak mengenai peripentingnya mengawal keseimbangan alam sekitar terutamanya yang membabitkan industri besar. Umum mengetahui, tatkala bencana alam berlaku, banyak tanaman, tempat tinggal, dan ekosistem yang musnah. Perkara ini menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang besar untuk membaikpulih kepada keadaan sedia kala.

Jika kita masih ingat, dunia baru sahaja dilanda Taufan Katrina Di Amerika Syarikat pada tahun 2005 serta banjir luar biasa di Sumatera (2006). Tidak cukup dengan itu, Taufan Ketsana dan Parma di Filipina yang membawa banjir besar telahpun berlaku pada tahun 2009 yang mengorbankan beribu-ribu nyawa manusia. Perkara ini boleh dianggap sebagai amaran bumi terhadap kealpaan dan kelekaan kita dalam menjaga keseimbangannya. Sungguh tinggi nilai yang harus dibayar apabila kesan daripada peningkatan suhu bumi ini mula menunjukkan taringnya. Di Malaysia misalnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, saiz negara semakin mengecil sehingga jarak 40 meter akibat hakisan pantai di 33 lokasi. Selain itu suhu di negara ini semakin meningkat kepanasannya berbanding 20 tahun lepas (Utusan. Desember 2009). Selain itu, peningkatan suhu bumi pada hari ini juga telah menyebabkan bilangan ribut taufan kategori 4 dan 5 meningkat dua kali ganda untuk beberapa dekad ini. Aras laut juga semakin meningkat sehingga menyebabkan kawasan rendah tidak lagi sesuai untuk didiami.Bertitik tolak kepada perkembangan kenaikan suhu bumi pada hari ini, United Nation Development Programme (UNDP) telah mengambil inisiatif untuk mengisytiharkan “perang” terhadap perubahan cuaca melalui Human Development Report (HDR) 2007/2008. Selari dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, usaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai fenomena pemanasan global merupakan agenda utama dunia.

Tema HASS 2007, telah tertumpu terhadap usaha menyedarkan masyarakat betapa isipadu air laut telahpun meningkat sehingga memberi impak terhadap fenomena hakisan pantai serta pengecilan saiz sesebuah negara. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pencairan ais di kutub akibat daripada suhu bumi yang tinggi.Begitu juga dengan tema HASS 2008, yang mana ia lebih kepada mendedahkan tabiat manusia yang tidak mesra alam sehingga membawa kemudaratan seperti pencemaran alam sekitar, perubahan suhu bumi yang sekaligus mengundang bencana alam. Pada tahun 2009 juga, masih mengenai isu yang sama. HASS 2009 telah menekankan mengenai peripentingnya asas dan nilai dalam melindungi bumi. Nilai bekerjasama telah dipilih sebagai nilai utama dalam mencegah perubahan iklim.

Perkara ini merujuk kepada komitmen semua negara samada negara maju, membangun mahupun mundur bersama-sama berganding bahu dalam menyeimbangkan semula suhu bumi melalui pelestarian gaya hidup individu. Tiada lagi pihak yang boleh menunding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan, kerana ia adalah tanggungjawab bersama. Sejarah kegagalan Protokol Kyoto yang tidak mendapat persetujuan daripada negara maju seperti Amerika Syarikat tidak seharusnya berulang kembali.Justeru, pemimpin dunia perlulah merealisasikan tema HASS 2009 melalui inisiatif Persidangan Perubahan Iklim Global yang telah diadakan di Copenhagen, Denmark. Jangan hanya sekadar persidangan, namun tiada memberikan apa-apa sumbangan terhadap perubahan iklim dunia yang semakin kritikal umpama telur dihujung tanduk. Persidangan ini boleh dianggap sebagai peristiwa besar dunia yang menjadi penutup tirai 2009. Namun, ia bukan bermakna usaha itu terhenti setakat persidangan itu sahaja. Malahan, kesinambungan usaha tersebut akan sentiasa diteruskan oleh semua negara.Walaupun, persidangan itu gagal mencapai matlamat konkrit untuk mengambil tindakan ke arah menangani isu pemanasan global tetapi sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin dunia telah mencapai komitmen politik yang jitu untuk berusaha bersungguh-sungguh menangani gejala pelepasan gas rumah hijau yang kini mengancam dunia (Utusan. Desember 2009). Secara tidak langsung, persidangan ini telah berjaya membuka mata semua pemimpin dunia termasuk Amerika Syarikat tentang kritikalnya ancaman yang sedang dihadapi oleh bumi akibat pemanasan global.Persidangan ini juga sedikit sebanyak telah berjaya membawa dua buah negara yang paling banyak menyumbang kepada pemanasan global untuk sama-sama bertolak ansur dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau terutama mengenai isu ketelusan maklumat dan data serta komitmen AS untuk menyumbang dana bagi membiayai program mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di negara-negara membangun (Utusan. Desember 2009).Namun, masih ada beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan usaha persidangan ini mendapat sokongan daripada semua negara. Ini kerana, terdapat beberapa buah negara membangun seperti Venezuela, Cuba, Sudan dan Bolivia menentang cadangan AS itu dan menyifatkannya sebagai tidak dapat diterima kerana ia tidak menetapkan sasaran spesifik jumlah pengurangan pelepasan gas rumah hijau (Utusan. Desember 2009).

Sekiranya persidangan kali ini masih gagal mendapatkan kata sepakat untuk mengurangkan pembebasan gas-gas rumah hijau di atmosfera, dikhuatiri negara-negara pulau seperti Maldives dan Botswana serta Bandar-bandar di pinggir pantai seperti Venice akan tenggelam dan negara seperti Nepal akan ditimbus glasier yang runtuh dari Pergunungan Himalaya.

Tuntasnya, isu pemanasan global ini tidak akan berakhir selagi mana tidak wujud kesedaran yang mendalam mengenainya. Usaha bersepadu daripada semua pihak, tidak kira individu mahupun industri di setiap negara juga haruslah mengambil langkah drastik dalam mengurangkan pembebasan gas-gas rumah hijau yang boleh menyumbang kepada peningkatan suhu bumi. Hargailah bumi yang dikurniakan kepada kita sebaiknya, kerana, bumi yang bersih, membawa kehidupan yang sejahtera.